Friday, September 3, 2010

Nurin Awatif...



Assalamualaikum...

Nama saya NURIN AWATIF BT MOHD HAFIZ..
Saya dilahirkan pada 2 Ramadhan / 12 Ogos 2010 di DBM Muslimah / Klinik Penawar Permatang Pauh..
Insya Allah..saya akan menjadi seorang anak yang solehah, taat pada perintah Allah dan rasul, Taat pada Ayah dan Ummi, dan berjaya di Dunia dan Akhirat.

Jangan terkejut ye kawan2 UMMI...Nurin Awatif dah pandai bercakap dan menaip lagi. hee..SELAMAT BERTAARUF! Wassalam..

Monday, April 26, 2010

Ayuh Refleksi HATi Koreksi DIRI!!


TUHAN tidak mencipta sesuatu itu dengan sia-sia.Semua ada sebabnya. Semua ada gunanya. Semua ada hikmahnya. Terserah kepada manusia untuk mencari sebabnya, gunanya dan hikmahnya itu.

Tuhan hamparkan bumi ini dan mencipta segala sesuatu di dalamnya bukan semata-mata untuk manusia hidup dan berkembang biak di atasnya serta menggunakan segala khazanah kekayaan-Nya.

Sama juga seperti orang yang memakan hidangan yang sedap dan lazat. Dia ingin memakannya sehingga habis. Tetapi tidak terlintas di fikirannya siapa gerangan yang memasaknya.

Yang lebih penting, ia bertujuan supaya manusia dapat melihat secara zahir/fizik akan alam ciptaan Tuhan ini. Ini adalah bukti besar kepada manusia tentang wujudnya Tuhan. Ini sebenarnya adalah dalil bagi mereka tentang adanya Tuhan.

MENCARI TUHAN MELALUI CIPTAANNYA

Demikian juga di antara sebab Tuhan mencipta sekalian alam. Bukan saja alam syahadah atau alam yang nyata ini yang boleh dilihat oleh manusia tetapi juga alam-alam yang lain. Alam itu adalah alamat atau tanda akan wujudnya Tuhan. Segala apa yang Tuhan ciptakan itu ialah alam.

Alam itu ialah apa sahaja selain Tuhan. Hakikat kewujudan ini hanya ada dua. Satu Tuhan dan satu alam. Tuhan adalah Khaliq yang mencipta. Alam adalah makhluk yang dicipta. Ada alam maka sudah tentu ada Tuhan yang menjadikan.

Namun kebanyakan manusia hanya melihat tetapi mereka tidak nampak apa-apa. Kalaupun mereka nampak, mereka tidak dapat kaitkan alam ini dengan Tuhan. Penglihatan mereka hanya selapis sahaja. Manusia tidak dapat melihat apa yang ada di sebalik ciptaan Tuhan itu.

Penglihatan mereka seolah-olah terlindung dan terhijab. Sama saja seperti mereka melihat lukisan yang cantik. Mereka terpegun dan memuji kecantikan lukisan itu dan ingin memilikinya. Tidak terbayang di fikiran mereka siapa pelukisnya. Sama juga seperti orang yang memakan hidangan yang sedap dan lazat. Dia ingin memakannya sehingga habis. Tetapi tidak terlintas di fikirannya siapakah gerangan yang memasaknya.


BEZA MATA KEPALA, MATA AKAL & MATA HATI

Manusia sebenarnya dapat melihat dengan berbagai cara. Pertama, dengan mata kepala. Kedua, dengan mata akal. Ketiga, dengan mata hati. Tetapi jarang seseorang itu dapat melihat dengan ketiga-tiga mata ini. Kalau seseorang itu melihat hutan belantara dengan mata kepala, maka itulah yang dia nampak iaitu hutan yang tebal dan menghijau.

Kalau dia melihat dengan mata akal, maka akan terlihat balak dan kayu-kayuan yang dapat dijadikan bahan kekayaan. Kalau dia melihat dengan mata hati, dia akan nampak keagungan dan kehebatan Tuhan dan hikmah yang terkandung di dalam ciptaan hutan tersebut. Terasa di hatinya betapa hebatnya Tuhan.

Kalau seseorang itu melihat laut dengan mata kepala, maka itulah yang dia nampak adalah air yang luas dan membiru serta ombak yang tidak henti-henti memukul pantai. Orang yang melihat dengan mata akal akan nampak ikan di dalamnya yang dapat ditangkap dan dijual.

Orang yang melihat dengan mata hati pula akan nampak kehebatan Tuhan dan hikmah dalam ciptaan laut yang begitu luas dan dalam, yang sesiapa pun tidak tahu apakah rahsia yang tersimpan di dasarnya. Terasa betapa kerdilnya dia di hadapan Tuhan.

Alam tidak membawa mereka kepada Tuhan. Hati mereka buta karena jiwa mereka telah mati

Siapa yang melihat dataran bumi dengan mata kepala, maka itulah saja yang dia lihat iaitu tanah dan batu-batuan. Sesiapa yang melihat dengan mata akal akan nampak minyak, emas, intan berlian dan segala macam logam yang terkandung di dalam perutnya.

Siapa yang melihat dengan mata hati pula akan nampak hebatnya perbuatan Tuhan yang telah menghamparkan bumi ini untuk dihuni oleh manusia di mana manusia boleh hidup dan mengabdi diri kepada Tuhan. Terasa di hatinya betapa pemurah dan pengasihnya Tuhan.

Namun demikian, kebanyakan manusia buta mata hatinya. Mereka hanya nampak apa yang menguntungkan dan yang boleh memuaskan kehendak nafsu mereka sahaja. Mereka hanya terangsang dengan nilai dunia yang ada pada sesuatu ciptaan itu. Mereka tidak nampak Tuhan di sebalik ciptaan-Nya. Alam tidak membawa mereka kepada Tuhan. Hati mereka buta karena jiwa mereka telah mati.

Jiwa mereka sudah tidak mampu berfungsi lagi. Mereka sudah tidak mempunyai rasa. Mereka tidak terangsang langsung dengan Akhirat. Mereka tidak ingin kepada Syurga. Mereka tidak takut kepada Neraka. Mereka tidak merasakan peranan Tuhan dalam hidup mereka.

TIDAK RASA DIRI HAMBA

Mereka tidak rasa bahawa Tuhan itu wujud. Kalaupun mereka tahu yang Tuhan itu wujud, tetapi hanya sebatas tahu saja. Ia belum menjadi suatu keyakinan atau satu pegangan. Justeru itu, soal Tuhan diambil ringan.

Tidak ada rasa bertuhan. Apabila rasa bertuhan tidak ada, mereka pun tidak dapat merasakan bahawa mereka itu adalah hamba. Selagi jiwa mereka ini tidak dihidupkan, selagi itulah mereka akan hanyut di alam dunia mengikut arus yang akan membawa mereka kepada kelalaian, kesesatan dan kebatilan.

Tidak ada rasa bertuhan. Apabila rasa bertuhan tidak ada, mereka pun tidak dapat merasakan bahawa mereka itu adalah hamba.

Berdoalah banyak-banyak dan buatlah kebajikan sebanyak mungkin agar Tuhan berkenan mencampakkan hidayah. Tanpa hidayah, manusia tidak akan dapat menjadi insan yang tulen yang layak menjadi hamba dan khalifah Tuhan. Setelah hidayah barulah datang ilmu. Setelah ilmu baru boleh yakin dan faham. Setelah faham, barulah dapat beramal.
Setelah jiwa hidup, mata hati akan celik.

Ketika itu, kita akan terlihat apa-apa yang tersembunyi selama ini. Tuhan akan angkat hijab bagi kita. Akan terbongkar segala rahsia yang tidak pernah kita tahu sebelum ini. Hati akan mudah dengan kebenaran dan jinak dengan kebaikan. Keyakinan datang tanpa perlu difikir dan diakal-akalkan.

Segala-galanya akan mudah difahami. Tuhan ada berfirman di dalam Al Quran, maksudnya: “ Sesungguhnya kami jadikan untuk Neraka jahanam, banyak dari kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati tetapi tidak mahu memahami. Yang mempunyai mata tetapi tidak mau melihat. Yang mempunyai telinga tetapi tidak mau mendengar. Mereka itu seperti binatang ternak bahkan lebih sesat lagi. Mereka itu orang-orang yang lalai.”

Monday, March 1, 2010

Salam Perpisahan...



Tanggal 1 Mac 2010 merupakan hari yang terakhir bagi Puan Yuhanis selaku Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Air Merah. Majlis Perpisahan diadakan bersama seluruh warga SKAM pada hari tersebut. Kehilangannya amatlah dirasai memandangkan beliau merupakan seorang GB yang berdedikasi, bertanggungjawab serta mengambil berat dalam segenap perkara mahupun individu / murid di sekolah ini.Seluruh warga SKAM amat-amat berasa sedih dan hiba di atas berita pertukarannya ke sekolah yang baru.

Doa dan harapan agar Puan GB dapat menyesuaikan diri di sekolah berkenaan.Semoga bertemu kembali dan mudah-mudahan ukhuwah sesama kita akan berpanjangan..



Brothers - Untukmu Teman


Di sini kita pernah bertemu
Mencari warna seindah pelangi
Ketika kau menghulurkan tanganmu
Membawaku ke daerah yang baru
Dan hidupku kini ceria

Kini dengarkanlah
Dendangan lagu tanda ingatanku
Kepadamu teman
Agar ikatan ukhuwah kan
Bersimpul padu

Kenangan bersamamu
Takkan ku lupa
Walau badai datang melanda
Walau bercerai jasad dan nyawa

Mengapa kita ditemukan
Dan akhirnya kita dipisahkan
Mungkinkah menguji kesetiaan
Kejujuran dan kemanisan iman
Tuhan berikan daku kekuatan

Mungkinkah kita terlupa
Tuhan ada janjinya
Bertemu berpisah kita
Ada rahmat dan kasihnya
Andai ini ujian
Terangilah kamar kesabaran
Pergilah derita hadirlah cahaya

Sunday, January 31, 2010

25 PESANAN LUQMANUL HAKIM...

01 – Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH


02 – Orang – orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH juga.

03 – Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

04 – Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

05 – Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

06 – Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

07 – Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

08 – Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

09 – Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10 – Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.

11 – Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12 – Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13 – Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14 – Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15 – Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16 – Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah

17-Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

18 – Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19 – Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya~ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20 – Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.'

21 – Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22 – Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan hartamu.

23 – Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.

24 – Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

25 – Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu

Sunday, January 24, 2010

SeLaMaT HaRi LaHiR!!


Hari ni genaplah 1 tahun umur anak saya Damia Zahra. Tapi sayangnya tiada sebarang sambutan memandangkan ayahnya tiada bersama buat masa ini. Mungkin masih tiada erti baginya buat masa ini walaupun dengan sambutan hari lahir mahupun tiada. Bagi saya sambutan hari lahir adalah tidak lebih daripada ungkapan kesyukuran ke hadrat Ilahi dengan kesempatan hidup yang dikurniakanNya hingga ke saat ini; dengan syarat sambutan yang diraikan tidaklah melampaui batas-batas Islami.


Walau apapun jua keadaan yang dihadapi Ummi amat mendoakan mudah-mudahan umur Damia dilanjutkan di samping memperoleh kesejahteraan, kejayaan, kemenangan dan kebahagiaan di dalam hidup.


SELAMAT HARI LAHIR SAYANG UMMI! Insya Allah, Esok kita akan raikan bersama ayah sempena Hari Lahir yang ke -1 tahun ini. Moga anak Ummi yang sorang ni sentiasa dimurahkan rezeki dan diberkati Allah S.W.T hendaknya.Amiin...

Saturday, January 2, 2010

SeLaMaT KeMbaLi Ke SekoLaH!!



Asslamualaikum..Buat semua warga PENDIDIK serta yang DIDIDIK..

Selamat kembali ke alam persekolahan. Hari-hari yang berlalu kita biarkan ia terus berlalu. Segala memori yang terlakar pada 2009 yang lalu tetap kita pahatkan di ingatan. Namun, yang 'KERUH' kita tinggalkan dan ambil iktibar bahkan yang 'JERNIH' kita jadikan panduan dan ikutan untuk hari-hari yang mendatang.

Hati semakin berdebar-debar menantikan hari esok. 2010 merupakan tahun kemuncak bagi perjalanan program JQAF khususnya. 2010 jugalah penggenap 6 tahun lamanya program JQAF telah dilaksanakan. Berjayakah ia? Bagaimanakah pula dengan hasil PRODUK-PRODUKnya?Setakat ini sahajakah PERHENTIAN program jQAF? Barangkali keputusan TESTIMONI ini bakal dipantau dan diselidiki oleh segenap pihak.

Bagi warga pendidik jQAF kohort 2005 dan sekeliannya, sama-samalah kita berusaha,berdoa dan bertawakkal mudah-mudahan program ini akan terus dijalankan pada tahun-tahun mendatang tanpa sebarang prejudis sebilangan pihak. Moga pada tahun 2010 ini kita dapat jadikan tahun yang terbaik daripada tahun-tahun yang sebelumnya.

AHLAN WA SAHLAN ILA AL-MADRASAH..!